27.7.10

Tazkirah: Bukan Sekadar Wanita Biasa...

Umar al-Khattab pernah berkata:

“Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah”
Kata-kata hebat yang lahir dari insan yang hebat. Mengimpikan ‘rijal’ lebih dari perhiasan duniawi. Fikrahnya sangat jelas, menyeru kepada pembentukan ‘rijal’ dakwah yang mantap untuk menegakkan panji-panji Islam. Dengan itu, akan tertegaklah kalimah Allah di muka bumi ini.
Bagaimana untuk menghasilkan ‘rijal’ dakwah yang mantap ini? Tentulah memerlukan satu proses tarbiyah yang benar-benar mantap. Merangkumi segala aspek. Ruhi, jasmani, akal, aqidah, akhlaq, dan amalnya. Ia adalah proses untuk membentuk manusia, bukanlah semudah menguli tepung. Ia merupakan satu proses yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan. Ia juga memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Bukan calang-calang orang boleh melakukan ini. Tetapi cuba bayangkan seandainya impian ini jadi kenyataan suatu hari nanti. Nescaya dunia ini akan makmur di bawah naungan Islam. Tentu kita akan rasa sangat gembira. Kerana di situ ada hasil titik peluh kita.

Tangan Yang Lembut Itu Siapa sangka tangan lembut seorang wanita mampu menggoncang dunia? Siapa sangka wanita yang disangka lemah mampu merubah masyarakat? Siapa kata wanita tidak boleh berdakwah?

Di sinilah hebatnya wanita. Memiliki keistimewaan tersendiri. Dari manakah lahirnya seorang ‘rijal’ kalau bukan dari rahim seorang wanita. Mungkin kadangkala terselit rasa lemah dan rendah diri kerana wanita tidak berpeluang berjuang di medan jihad seperti orang lelaki. Tetapi betapa bertuahnya seorang wanita. Seorang wanita yang luarannya lemah lembut mampu untuk mengandung, melahirkan, membesarkan, mengasuh dan mendidik seorang ‘rijal’. Bukankah itu satu kemuliaan yang Allah kurniakan hanya buat wanita.
Bukan sekadar itu. Wanita juga dimuliakan dengan suaminya. Tetapi bagaimana? Dalam sebuah riwayat dituturkan, bahwasanya Ibnu ‘Abbas berkata:
“Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah, lalu ia berkata:
‘Wahai Rasulullah, saya ini utusan dari kaum perempuan untuk menemuimu. Jihad ini diwajibkan Allah kepada kaum laki-laki. Jika mereka menang, mereka mendapat pahala, dan jika mereka terbunuh, mereka tetap hidup di sisi Tuhan mereka, dan mendapat ganjaran. Sedangkan kami kaum perempuan hanya membantu mereka. Maka, apa bahagian kami dalam hal in?’ Rasulullah Saw menjawab, ‘Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui, bahwa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengan itu (jihad di jalan Allah)’.”
(Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq)

Wanita Juga ‘Rijal’
Jika anda wanita, anda juga boleh menjadi rijal. Sejarah telah membuktikan bagaimana peranan Khadijah di sisi Rasulullah. Beliaulah suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad saw. Ketika baginda Rasulullah baru menerima wahyu, beliau menguatkan Rasulullah dengan kata-katanya:
“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim, menghubungkan keluarga dan mengangkat beban berat, memberi kepada orang yang memerlukan, menerima dan menghormati tetamu, serta menolong orang-orang yang susah”

Wanita pertama sebagai syuhada adalah Ummu Amr bin Yasir yang bernama Sumayyah. Beliau dan suaminya disiksa, agar mereka keluar dari agama Islam. Tetapi mereka tetap bertahan dan sabar, sehingga dia mati syahid bersama suaminya.

Besarnya peranan seorang wanita ketika hijrah Rasulullah, Asma’ bintu Abu Bakr. Dalam keadaan beliau sedang sarat mengandung, merentas padang pasir menghantar makanan buat baginda ar-Rasul. Menahan perit tamparan Abu Jahal, demi mempertahankan agama Allah. Beliau juga merupakan ibu kepada seorang ‘rijal’ yang berjaya melakar nama dalam sejarah Islam, ‘Abdullah Ibnu Zubair.


Jadilah Wanita ‘Rijal’
Seandainya seorang wanita itu mengangkat dirinya dengan Islam, beramal untuk Islam, dia boleh menjadi aset yang sangat penting dalam usaha mengembalikan khilafah di bumi Allah ini. Namun jika wanita itu merendahkan dirinya dengan melakukan kerosakan di bumi ini, dia boleh menjadi punca jatuhnya ummat tersebut.
‘Rijal’ atau tidak seorang wanita itu bergantung pada dirinya sendiri. Samada dia mahu menjadi seorang wanita ‘rijal’ atau sebaliknya. Namun, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Memerlukan persiapan yang rapi serta tarbiyah yang teliti. 

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri kita untuk menjadi seorang isteri, ibu, serta wanita yang berhati ‘rijal’ sodiq (benar). Jadilah bukan sekadar wanita…

sumber:http://khairatul-huwaina.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...