8.12.10

Sejarah Kasino Genting, Tanah Pahang Dan Selangor Digadaikan.

 Pemimpin terus menanggung dosa akibat penubuhan kasino Genting

Bagaimana Goh Tong bermula?

Bagaimana Goh Tong bermula? Dalam memoirnya My Story kita mendapati beliau bertemu PM Tunku Abdul Rahman terlebih dulu untuk menyempurnakan cita-citanya di Mohd Noah Omar adalah oran g tengah. (Noah Omar adalah datuk Najib Tun Razak dan Hishammuddin Tun Hussein. Tun Razak dan Tun Hussein, kedua-duanya adalah menantu Noah Omar) 

Goh Tong menerangkan konsep pembangunan di Gunung Ulu Kali sebagai pusat percutian. Mungkin Goh Tong sudah mengetahui hasrat Tunku untuk membangunkan kawasan itu dan beliau bijak mengambil peluang tersebut. 

"Ia adalah satu pertemuan yang mesra," tulis beliau dalam memoir tersebut. "Namun projek itu tidak dapat dilaksanakan kerajaan kerana faktor masa dan kewangan, apatah lagi keadaan politik waktu itu yang tidak mengizinkan."

 Jutawan Judi Mendiang Lim Goh Tong, Pengasas Kasino Genting

Bagaimana Goh Tong dapat mencium kemahuan Tunku yang ingin membangunkan kawasan tersebut? Adakah ia telah menjadi kefahaman umum dalam kalangan elit Cina bahawa Tunku suka bermain terup dan berjudi? 

Lee Kuan Yew dalam memoirnya pernah menulis tentang kegemaran Tunku yang amat suka bermain terup. Sambil bermain terup, Kuan Yew akan berusaha berunding beberapa perkara berhubung politik yang menguntungkan dirinya. 


Adakah hal ini juga digunakan Goh Tong? Adakah beliau menden gardaripada pihak tertentu bahawa Tunku memang berhajat membangunkan kawasan itu sebelum ini? Beliau menulis "Berdasarkan kajian awal yang dilakukan JKR, jalanraya itu memakan masa 15 tahun untuk disiapkan. Tunku menyatakan kesempitan kewangan kerana negara berkonfrontasi dengan Indonesia. Jika kerajaan membelanjakan wang besar bagi pembangunan Gunung Ulu Kali, ia akan menerima kritikan pembangkang dan hal ini akan menjadi isu politik. 


Tan Sri Noah Omar

"Untuk mengelak kejadian ini, kerajaan berasa adalah lebih baik diserahkan kepada sektor swasta untuk melaksanakan projek berkenaan. 

"Pada pendapat Tunku tawaran itu tiba tepat pada masanya. Tunku minta saya sediakan satu kertas cadangan agar beliau dapat mengkajinya. Dalam seminggu saja saya dapat menyiapkan kertas itu dan menyerahkannya kepadanya. Dia gembira setelah membacanya, lalu bersetuju agar saya meneruskan projek itu," tulis Goh Tong lagi. 

Goh Tong dan Mohd Noah seterusnya menubuhkan Genting Highlands Sdn Bhd pada April 1965. Antara 1965 dan 1970, mereka membuat permohonan kepada Pahang dan Selangor untuk mendapatkan beberapa hektar tanah berstatus pegangan bebas. Goh Tong menulis "Dengan sokongan Tunku, Pahang luluskan permohonan itu. Tapi kami ada masalah dengan Selangor. Datuk Harun Idris (Menteri Besar) bersedia memberi tanah berkenaan dengan pajakan 99 tahun. Ini mengecewakan. Saya merayu Datuk Harun secara persendirian dan menjelaskan kepadanya masalah saya. 

"Saya menyatakan Genting Sempah adalah kawasan pendalaman. Ia perlukan 30 ke 40 tahun dan pelaburan besar untuk membina jalan, hotel, kuaters pekerja dan menyediakan prasarana air, eletrik dan lain-lain kemudahan di situ. Jika Selangor cuma memberi pajakan 99 tahun, kami terpaksa menyerahkan kepada kerajaan sebaik saja pembangunannya tamat. 

"Saya tekankan jika Selangor tidak mengendahkan permohonan kami untuk pegangan bebas, saya tiada pilihan lain selain dari hanya membangunkan tanah yang terletak di Pahang di sempadannya yang akan menyebabkan Pahang akan mempunyai satu lagi pusat peranginan. Saya jelaskan kepadanya bahawa sudah terdapat banyak pusat percutian di Pahang seperti Cameron Highlands, Fraser’s Hill dan pantai-pantai yang menghadapi Laut Cina Selatan. 

"Selangor, sebaliknya, hanya berbangga dengan pantai Morib yang berlumpur. Sebaik sahaja Genting Highland ditambah di dalam senarai pusat percutian negeri Pahang, Selangor akan jauh ketinggalan di bidang tarikan pelancong. 

"Dato' Harun akhirnya bersetuju dan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memberi status pegangan bebas kepada tanah yang kami pohon. Pada 31 Mac 1969, Tunku dijemput meletakkan batu asas hotel pertama, Highlands Hotel (kini Theme Park Hotel). 

"Dalam ucapannya, Tunku berbangga kerana saya membina pusat peranginan tanpa bantuan kerajaan dan pada masa yang sama memberi jasa besar kepada industri pelancongan. Untuk mempercepatkan pembangunan pelancongan di kawasan ini, Tunku berkata kerajaan akan menimbangkan untuk membenarkan aktiviti kasino." 

Kes Goh Tong meminta tanah untuk dibangunkan kepada Tunku ini mungkin sama dengan kes Yap Ah Loy meminta tanah daripada Sultan Selangor ketika mana era berlakunya Perang Saudara di Kelang. Sultan akhirnya memberikan tanah kepada elit Cina itu secara pajakan. 

Tanah yang diusahakan ini membentuk Lembah Kelang dan Kuala Lumpur yang menjadi ibu kota pada hari ini. Pada tahun-tahun (1965–1970) Goh Tong mengusahakan tanah pegangan bebas Pahang–Selangor itu, Tunku menghadapi krisis dalam kabinetnya sendiri. 

Mungkin pada tahun inilah berlakunya kecaman ke atas Tunku yang dikata suka memberikan bantuan ke atas elit Cina yang akhirnya tidak membawa kelebihan yang banyak ke atas orang-orang Melayu sendiri. Sikap Tunku inilah antara hal yang mendorong kepada ledakan 13 Mei 1969, iaitu era di mana Goh Tong mendapat habuannya di Gunung Ulu Kali atau Genting. 

Goh Tong mula membuka kasino
"... oleh kerana Tunku mengisytiharkan kerajaan bersedia memberi lesen kasino, saya perlu melawat Macau dan Korea Selatan untuk mengkaji pengurusan kasino di sana . Kami meneliti buku-buku dan belajar dari mereka. Saya ingin meneroka kemungkinan peluang mempelawa taukeh-taukeh kasino untuk berusaha-sama dengan kasino di Genting. 

"Saya bersama pembantu tiba di Hong Kong pada April 20, 1969 dalam perjalanan ke Macau untuk betemu Stanley Ho yang memiliki kasino tunggal di Macau. Saya menyampaikan hasrat lawatan saya kepadanya. Beliau menyambutnya dengan sekadar senyuman tanpa komitmen apa-apa. Saya faham makna senyumannya kerana belum dapat lesen kasino, bagaimana kita hendak berbicara tentang kerjasama? Justeru itu, saya bercadang sebaik saja sekembalinya ke Malaysia, saya akan memohon lesen kasino. 

"Pada April 28, 1969, di hari saya kembali ke Kuala Lumpur, saya menyerahkan permohonan untuk mendapat lesen kasino dari kerajaan melalui seorang pembantu peribadi Tunku. Nasib saya amat baik, mesyuarat kabinet berlangsung pada sebelah petang dan permohonan saya dibawa ke perbincangan. Dalam mesyuarat berkenaan kabinet telah meluluskan permohonan saya, hanya enam jam selepas permohonan itu diserahkan. Saya diberitahu untuk mengambil surat kelulusan tersebut. Oleh itu Genting Highlands menjadi pemegang lesen kasino yang pertama dan yang tunggal di negara ini. 

"Sebaik saja kelulusan itu diperolehi, saya telegraf berita baik itu dan menghantar dokumen berkaitan kepada Stanley Ho. Dua minggu berikutnya saya terbang ke Hong Kong sekali lagi untuk menemui beliau untuk melihat kemungkinan usaha-sama menjalankan kasino. Stanley Ho kaguman melihat saya mendapat kelulusan kerajaan untuk lesen kasino dalam masa yang singkat. Beliau menyatakan, saya adalah manusia terpantas di dunia ini yang mendapat lesen kasino. Tapi, disebabkan beberapa masalah kami gagal bersepakat untuk bekerjasama. 

"Selepas itu, saya berurusan dengan Chong Tat Wong, tauke kasino tunggal di Seoul. Kami tandatangani perjanjian usahasama untuk tiga tahun pada 1971, mengizinkannya membantu menguruskan kasino Genting. Setelah sembilan bulan bekerjasama kami tamatkan perjanjian berkenaan. Dari sejak itu Genting menjalankan sepenuhnya operasi kasinonya dan melalui cuba-jaya kami berupaya mendapatkan kemahiran menguruskan sebuah kasino.

[Dipetik daripada buku My Story dengan sedikit suntingan]
 
Kesimpulan awal

Justeru kita titipkan pengalaman Goh Tong di sini supaya kita dapat membuat penilaian yang tepat mengenai usaha awal ke arah membanteras amalan judi dalam kalangan Melayu Muslim terlebih dulu, sebelum kita berusaha membanteras judi secara berterusan dan menyeluruh. 

Pertamanya, kita lihat tabiat berjudi ini sukar dibanteras kerana ia berkait-rapat dengan tabiat pemimpin Melayu yang 'mewakafkan' tanah untuk membina pusat judi terulung di rantau ini. Sebenarnya, kegilaan berjudi wujud lebih lama sebelum wujud Genting. Raja, bangsawan dan rakyat bersabung ayam dan berlaga lembu dan ketagihan ini wujud di ambang kemerdekaan. 

16 ekor lembu yang handal akan dibawa dari Kelantan ke Kuala Lumpur sedikit hari lagi untuk mengambil bahagian dalam temasya 'Perlagaan Lembu' sebagai satu rancangan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. "Temasya 'Perlagaan Lembu' sangat digemari di negeri ini tetapi kerajaan telah melarang permainan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu". - (Berita Harian, 27 Julai 1957). 

Temasya Laga Lembu akan diadakan selama tiga hari di Kuala Lumpur dalam perayaan menyambut kemerdekaan. Menteri Pertanian dan Perikanan, Encik Abdul Aziz Ishak memberi amaran "supaya orang-orang yang datang terutama sekali ahli-ahli mesyuarat jangan memakai pakaian berwarna merah." 

Tuan Sheikh Ahmad bin Mohamed, Perikatan Perlis, apabila membantah pindaan yang dimajukan oleh Menteri Pertanian itu antara lain berkata bahawa permainan berlaga lembu itu ialah "permainan yang telah mati dan yang demikian tidak guna dihidupkan. Saya membantah dengan kerasnya pindaan yang membolehkan perlagaan lembu itu." 

Encik Nik Hassan Yahya dari Perikatan Kelantan, tatkala membantah pindaan itu berkata "tindakan yang dicadangkan oleh Menteri Pertanian itu adalah tindakan yang tidak baik; di Kelantan, Laga Lembu telah diharamkan kerana menggalakkan perjudian. Sangat tidak baik bagi manusia melagakan binatang," katanya. 

Ungku Muhsein, Perikatan Terengganu, yang juga membantah berkata, "Saya tidak menentang permainan itu, tetapi saya menentang akibatnya, iaitu perjudian." 

Encik Abdul Ghafar Baba, Perikatan Melaka, meyifatkan pindaan Menteri Pertanian itu dan niatnya hendak mengadakan Laga Lembu sebagai "melanggar tugas yang diberikan rakyat kepadanya. Saya bangkangnya dengan keras," katanya. - (Berita Harian, 16 Ogos 1957)

5 comments:

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...